
Monday, February 1, 2010
Destinasi Seterusnya ; MRSM Batu Pahat, Johor

Belum pun hilang penat di badan dan lenguh di kaki menuruni Puncak Ledang, ALTIS Group menerima undangan untuk mengendalikan program 'Mukhayyam Hadhari' bertempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, Johor. Kunjungan delegasi ALTIS pada pagi Isnin 01 Februari itu mendapat sambutan pihak sekolah dan terus menetapkan tarikh 12-13 Februari 2010 sebagai tarikh program. Program julung kali diadakan di negeri Johor ini akan melibatkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada kepimpinan Biro Kerohanian MRSM Batu Pahat.
Bertemu dan berkenalan dengan adik-adik di MRSM nanti sudah tentu menarik. Paling tidak kami dapat berkongsi dengan mereka rasa isi hati kami. Generasi muda hari ini sudah tentu lebih maju dan terpelajar berbanding generasi dahulu. Generasi tua kaya dengan pengalaman, manakala generasi muda kaya dengan cita-cita. Idealisme anak-anak muda terpilih (the selected fews) sudah tentu berbeza. Mereka tentu inginkan kelainan. Mereka tentu dahagakan pencerahan.
Generasi-Y yang kita ada hari ini adalah bakal pencorak negara pada masa akan datang. Namun, harapan itu hanya tinggal harapan sekiranya generasi hari ini terus digasak dan diisi dengan program hiburan. Lagi lagi hiburan. Kami terkesima juga apabila peruntukan untuk Battle of The Bands yang berpuluh ribu boleh dibelanjakan, sedangkan program pembinaan insan peruntukannya ditapis dikurangkan.
Soalnya di manakah masa depan anak muda Melayu-Islam dalam negara kita. Apakah cukup hanya bergelar profesional, korporat dan birokrat sedangkan di sekeliling kita lihat..kitalah yang mundur, yang miskin dan yang tercorot. Kitalah juara dalam masalah sosial, penagihan dadah, mat rempit dan juara membuang janin tidak berdosa di dalam longkang. Benar, kita boleh menjadi pelajar atau ahli profesional yang baik, tapi mampukah kita menjadi anggota masyarakat yang baik?
Semoga kehadiran ALTIS Group nanti mampu memberi sinar pencerahan buat warga MRSM Batu Pahat, dengan semangat penuh sedar bahawa tanggungjawab kita cukup banyak. Tugas dan peranan kita lebih banyak dari waktu yang kita ada. Waima waktu yang ada ini tidak cukup untuk kita mengisi tugas kita itu, haruskah kita membuang masa duduk di rumah tanpa memanfaatkan masa untuk sesuatu yang berharga. Apakah esok masih ada ruang lagi untuk kita terus bernafas di bumi Yang Maha Esa?
Akhirnya Puncak Gunung Ledang Itu Berjaya Ditawan

Syukur akhirnya puncak Gunung Ledang itu berjaya kami tawan.
8.45 pagi - 31 Januari 2010
Gunung Ledang - 4187 kaki di atas paras laut
~ Tahniah Altis Group
Thursday, January 21, 2010
Kem Khalifah Kembali Lagi - Felda Lui Selatan

Setelah agak lama sepi tanpa berita, akhirnya ALTIS akan meneruskan agenda pencerahan anak mudanya dengan projek Kem Khalifah di tanah rancangan Felda. Selepas Felda Pasoh o1, Palong 07, Pasoh o2 dan destinasi berikutnya ialah Felda Lui Selatan. Sekolah Kebangsaan Felda Lui Selatan pastinya meriah dengan kedatangan barisan fasilitator ALTIS yang akan menggegarkan tanah rancangan tersebut dengan lagu gemuruh.
Peristiwa Felda terpaksa membayar saman 11 juta kepada peneroka Felda Kemahang baru-baru ini begitu menyentap hati. Realitinya hari ini warga Felda terus hidup dalam serba serbi sederhana. Anak-anak muda, selain yang berjaya menjadi doktor perubatan, tidak kurang juga yang menjadi doktor mencucuk diri sendiri. Hakikatnya anak-anak generasi ke-3 Felda ini perlu dibantu dan diberikan inspirasi baru. Anak-anak muda yang kaya dan berjaya harus turun padang untuk membantu mereka membangunkan potensi EQ, IQ dan SQ.
Tragedi demi tragedi yang kita lihat dan baca di dada akhbar hari ini majoritinya melibatkan anak-anak muda Melayu. Sampai bilakah hal ini akan berlarutan sekiranya tiada langkah proaktif dari anak muda bangsa yang berjaya untuk mengalih pandangan warga - bahawa dunia ini luas dan semua orang berpeluang untuk menjadi lebih berjaya. Langkah pertama tentunya mengeluarkan anak-anak muda ini dari tanah rancangan agar mereka berhijrah - membina kekuatan ekonomi, sosial dan budaya untuk membuat perubahan di tanah tumpah kelahiran mereka.
ALTIS akan terus komited untuk membantu anak-anak muda ini - mengeluarkan mereka dari zon selesa - seterusnya membuat transformasi dari segi budaya, akhlak, pendidikan anak-anak Felda meskipun tanpa bantuan dan sokongan. Sesungguhnya tidak salah untuk kita dilahirkan miskin tetapi adalah salah untuk kita terus membiarkan diri kita terus berada dalam keadaan miskin. Kemiskinan itu bukanlah sesuatu yang patut diwarisi, tetapi semangat dan ilmu itu boleh membawa kita agar lari jauh dari kemiskinan.
Buat anak-anak muda Felda, renungkanlah kata-kata Pendita Za'ba ini "Adapun kemiskinan orang Melayu itu bukan hanya miskin pada wang ringgit dan harta benda, tapi lebih dahsyat dari itu, miskin pada lemah impian dan cita-cita, miskin pada pelajaran, miskin pada alat-alat kelengkapan otak, miskin punyai cita-cita tinggi dan miskin syarat-syarat untuk menjadi maju".
Semoga ALTIS dapat meneruskan perjuangan untuk pencerahan anak muda Melayu ini dengan kudrat, semangat dan kecekalan untuk langkah maju ke hadapan.
Sunday, January 10, 2010
Biarkan Kenangan Berbunga Di Ranting Usia ; 2010

Tahun 2009 telah berlalu. Maka genaplah satu tahun penubuhan ALTIS sejak 01.01.2009. Tahun pertama ALTIS berdiri penuh cabaran. Dari kosong dan lengang, duduk beralaskan lantai dan tikar buruk, tidur bertemankan nyamuk, ALTIS kini berdikit maju mara ke hadapan.
Hakikatnya ALTIS bukanlah syarikat motivasi yang skema atau konsultan stereotaip yang mencari keuntungan. ALTIS adalah sebuah impian anak-anak muda yang dahagakan pencerahan. ALTIS adalah idea otak (brain-child) anak-anak muda untuk melihat masyarakat di sekeliling adalah masyarakat yang liberal, proaktif, bertaqwa, aman lagi harmoni.
Maka ALTIS ingin mengisi kekosongan pada jiwa masyarakat yang terlalu sibuk dengan agenda keduniaan. ALTIS mengisi ruang dan peluang untuk menginspirasikan bahawa kejayaan itu adalah hak milik setiap insan. ALTIS ingin semua orang meyakini bahawa kegagalan itu bukanlah titik noktah bagi sebuah perjuangan.
Tahun 2010; sesuai dengan wawasan masa depan ALTIS, inginkan perubahan. Proses ke arah kemajuan dan pembangunan aras tinggi itu bukanlah semudah yang disangka. ALTIS akan terus berusaha untuk membina rangkaian dengan semua lapisan rakyat. ALTIS akan merangka jalan baru dengan semangat dan jiwa padu untuk menggerakkan aktiviti anak-anak muda Malaysia.
Sesuatu idea; disertai kepakaran dan kesungguhan, akan menghasilkan momentum perubahan yang jitu. ALTIS melihat semua itu dengan mata kasar yang luas. Ibarat berdiri di puncak sebuah gunung, harga sebuah impian itu tidak ternilai.
Semoga tahun baru diiringi semangat baru dan azam baru; akan menjadikan ALTIS lebih teguh, lebih agresif, lebih loyalty, lebih teamwork, lebih immigrant dan lebih smart dari tahun pertamanya. ALTIS cuma percaya, bahawa dunia ini akhirnya akan jatuh kepada anak-anak muda. Hanya anak muda yang boleh mengubah sejarah. Hanya anak muda yang akan mencorak daulah!
Thursday, January 7, 2010
Cabaran Seterusnya ; Gunung Ledang Endurance Challenge
Setelah berjaya menawan puncak Gunung Datuk, InsyaAllah pada 30 Januari ini ALTIS Group akan bertandang ke Tangkak, Johor untuk cabaran ketahanan seterusnya. Destinasi pilihan pada awal tahun 2010 ini tidak lain dan tidak bukan ialah Gunung Ledang. Kata orang mendaki gunung ini tidak kurang cabarannya. Sebetulnya ia akan memakan masa selama sehari dan kami akan bermalam di check point sebelum sampai ke puncak gunung.Membina hobi baru kadangkala melupakan kita kepada masalah dan keserabutan yang kita hadapi saban hari. Kata orang lagi amat baik untuk kita melihat pokok dan alam yang hijau. Ini kerana ia menyihatkan mata dan menyegarkan minda. Setiap hari kita bergelumang dalam kesesakan di atas jalan raya. Apa salahnya kita keluar dari kesibukan dunia kita itu untuk menerjah alam baru. Ya. Alam Baru.
Di samping mengeratkan tali ukhuwah, dapat juga menimba pengalaman dan ilmu yang tidak di ajar di dalam kelas atau bilik kuliah. Ilmu itu kita perolehi melalui pengalaman. Manusia sentiasa mencari pencerahan hidup. Keluar dari kegelapan kepada cahaya. Teringat kata-kata bahawa ilmu itu adalah cahaya. Cahaya tidak akan sampai kepada orang yang tidak percaya bahawa kehidupan ini perlu sentiasa dilihat positif.
Semoga dengan cabaran kedua ini akan membawa ALTIS Group lebih berdaya maju, agresif dan lasak dalam menempuh cabaran membawa misi pencerahan. Anak-anak muda perlukan inspirasi daripada mereka yang kaya dan berjaya. Anak-anak muda itu perlukan rasa kekuatan dan bimbingan untuk terus menongkah arus kehidupan. Anak-anak muda itu percaya bahawa dunia ini sebenarnya milik mereka. Akhirnya dunia ini akan jatuh ke tangan anak-anak muda.
Wednesday, January 6, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)



